CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, May 30, 2011


Aku khabarkan tentang cinta kepada kalian dan juga untuk tatapan diriku. Cinta yang memang tidak pernah putus-putus.
Lantas kebahagian, cinta diraih lalu impian disulam bersemadi.
Tidak akan terputus dari susunan  kata yang terungkap indah lalu diikat rapi dengan terbuktinya melalui perlakuan sang pencinta itu sendiri.
Keunikan Cinta.
Dengan cinta, suka boleh menjadi duka. Cinta juga, cuka boleh menjadi madu yang manis.
Dengan cinta, impian bersama cuba digapai. Keburukan ternyata dilihat menjadi  amat menawan. Segala yang terungkap pada setiap kata-kata yang manis.
Lalu kita membicarakan tentang cinta.
Di sini, didefinisikan makna cinta dan dikatakan setiap helaian kamus anda akan menjumpai makna disebaliknya. Setiap jarak dari jasadmu kau akan jumpa pengertiannya.
Bila kita berbicara tentang cinta seolah-olah kita arif bagai kita yang mencipta segala cinta yang tercipta. Diungkapkan madah-madah cinta seperti kita sang pujangga  yang hebat?
Apakah cinta itu pada hubungan Adam dan Hawa dan kisah-kisah manusia lantas hangat dibicarakan dengan dengan penuh kasih kononnya disaluti bait-bait ilmunya.
Aku tidak mampu menjelaskan apa itu cinta tapi aku cuba fahami melalui jelas sifatnya cinta itu sendiri.
Analogi cinta sebagaimana Iman, tersembunyi dalam hati terbuktinya pada setiap tindakan dan kata. Pada setiap langkah yang dipacakkan dan nafas yang dihembus.
Iman yang dipahatkan bersulamkan takwa dan hati seorang hamba.
Cinta Dipahat pada Jalur Pengorbanan.
Sifatnya terukir pada sebuah pengorbanan. Pengorbanan yang dilihat tidak ada jelas bezanya untuk sesiapa pun. Jadi cinta itu sebuah pengorbanan lalu Juliet dan Romeo terkorban.
Majnun menjadi tidak waras dan gila kerana Laila. Cinta si ibu kepada anaknya tidak terhingga untuk membesarkan anaknya dan seorang ayah sanggup berhujan berpanas memberi kehidupan yang selesa kepada sebuah keluarga.
Pada cinta itu wujudnya sebuah kenikmatan yang agung. Kenikmatan Yusuf a.s. memilih kehidupan di penjara kerana dilihatnya nikmat sebenar di sana.
Dan kerana cinta Rasul diutuskan dan diwahyukan setiap kata-katanya daripadanya diambil untuk panduan dan bekalan kita semua.
Oleh sebab nikmat jugalah pejuang teragung Muhammad s.a.w. tidak  pernah berhenti berjuang.
Bicarakan tentang Cinta.
Maka ada bezanya antara cinta sang jejaka dan Syed Qutb. Aku cuba jelaskan bezanya di sini.Apabila kau baca lihat makna cinta, lantas kau lontarkan hanya ada kepada seorang manusia.
Dan aku jarang mendengar tentang cinta teragung yang pernah dunia dan isinya melihatnya.
Cinta yang dahsyat dipamerkan sebagai bukit kecintaan hakiki kepada Penciptanya yang Agung. 
Aku punya pendapat dan pandangan sendiri. Bagiku cinta itu bezanya pada dasarnya.
Pada apa yang kita cuba usaha untuk pegangi.
Sebagai contoh Cinta Romeo dan Juliet dipegang pada dasar manusiawi.
Maka matinya Romeo, matilah Juliet. Begitu juga cinta Majnun dan Laila, ditolaknya Laila cinta si Majnun, gilalah Majnun.
Dilihat pada situasi yang lain di mana cinta itu dihamparkan. Pada segenap keindahan noktah Penciptanya.
Pada Dia Pemilik dan Pencipta cinta. Pada Dia yang menganugerahkan setiap rasa dan pada naluri.
Maka Syed Qutb berdiri berani berhadapan ke tali gantung kepada Tuhannya. 
Dan kerana cinta itu pada kuncinya adalah satu, hanya kepada Allah. Yang  tidak terjangkau oleh masa.
Dia ingin berikan hadiah yang paling terbaik kepada Kekasihnya.
Hatta, nyawa, jasad, hartanya, kekuatannya dan segala apa yang dimiliki olehnya adalah pinjaman daripada Pencipta.
Kekasihnya yang hakiki dan cinta abadi. Letakkan cinta pada tempat yang seadil-adilnya.
Kembali aku kepada nilai kehidupan yang kujalani, lantas aku bertanya adakah semuanya kulakukan bagai seperti apa aku katakan?
Adakah selama ini benar kuletakkan cinta yang agung pada Tuhanku dan Nabiku?
Aku juga tidak membantah apatah lagi menentang kecintaan kalian pada manusia kerana aku juga punya cinta itu pada hatiku.
Akan tetapi aku mahu aku dan kalian juga meletakkan cinta pada tempat yang benar dan hak.
Itulah yang selayaknya kerana aku tahu cinta yang wujud dalam diri adalah daripada cinta Penciptanya jua.
Cinta yang kekal selama-lamanya adalah cinta dari Dia.
Dia Maha Penyayang dan lagi Maha Mengasihani.

Lelaki Sejati bukan dilihat dari hasil yang ia capai sahaja, Tetapi dari besarnya pengorbanan untuk mencapai tujuan
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari kecerdasan isi otaknya sahaja, Tetapi dari kesanggupan berkongsi ilmu yang ia punya
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar sahaja, Tetapi dari kasih sayangnya pada orang di sekitarnya
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang sahaja, Tetapi dari kelembutannya mengatakan suatu kebenaran
Lelaki Sejati bukan dilihat dari besarnya musuh yang dilawannya, Tetapi dari ia menjadikan Syaitan dan para pengikutnya sebagai musuh yang nyata
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya sahaja, Tetapi dari sikap bersahabatnya pada pada setiap makhluk Tuhan
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia dihormati oleh kawannya sahaja, Tetapi bagaimana dia juga dihormati oleh lawannya
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan sahaja, Tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang sahaja, Tetapi dari hati yang ada dibalik itu
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari banyaknya Wanita yang memujanya, Tetapi komitmennya terhadap Wanita yang dicintai
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari jumlah cabaran yang dibebankan sahaja, Tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan
Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari indahnya membaca Al-Quran sahaja, Tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca
Lelaki Sejati bukan pintarnya melafazkan sebuah janji suci, melainkan Bukti yang pasti
Lelaki Sejati adalah yang benar-benar Lelaki!

Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya.
Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah... jadi "Jabariah" dalam hidup itu.
Atau mengaku super hingga terjebak dalam "Qadariah" ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah.
Kita umat pertengahan - ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!
Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV.
Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar.
Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka.
Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini.
Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena.
Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa.
Bangun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi.
Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena?
Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Ubah keadaan luaran atau ubah diri sendiri?

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu?
Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri.
Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri.
Sunahtullahnya tidak begitu.
Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi.
Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan... hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita.
Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain.
Peraturan ini dinamakan Sunnatullah.
Barat menamakannya 'law of nature'. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai 'cause and effect' (sebab dan akibat).
Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.
Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca.
Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih.
Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu.
Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu.
Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.

Membuang sikap ego

Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya.
Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego.
Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada 'penyebab-penyebab' pada keadaan yang serba tidak kena itu.
Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, "entahlah... saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga.
Dah nasib..." Atau ada yang berkata, " tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?"
Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku.
Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego.
"Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya..." Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah.
Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.

Kehidupan kita, pilihan kita

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya.
Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita 'mengizinkan' ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita.
Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup... Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas... terpulang!
Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat.
Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri.
Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi.
Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya.
Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa... soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.

Kecil-kecil dan beransur-ansur

Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar.
Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan.
Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar.
Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi 'impak' atau kesan yang beransur-ansur.
Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk.
Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula.
Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua.
Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.
Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak.
Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil.
Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya 'terlebih bajet' ini bukanlah disebabkan 'kebocoran' perbelanjaan yang besar-besar.
Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya.
Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita.
Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.
Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik.
Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah 'over'.
Jangan cuba mengubahnya secara mendadak.
Kita pun mula bersenam secara 'maraton', menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem.
Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.
Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten.
Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula.
Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.
Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu.
Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat.
Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.
Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik.
Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu.
Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera.
Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.
Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya.
Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak.
Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair.
Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak...
Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan.
Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir.
Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas.
Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.
Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan.
Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.
Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari... ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar.
Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa... ya, selepas ini akan datang kesusahan.
Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini.
Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan...
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini.
Bila yang dibuat 'serba tidak kena' itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!